Kesalahan bahasa merupakan kombinasi dua perkataan “kesalahan” dan “bahasa”. Kesalahan merujuk perbuatan salah atau kesilapan. Perkataan bahasa pula, bermakna sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Menurut seorang sarjana Jerman, Wilhem Von Humbodt, bahasa ialah satu sintesis daripada bunyi yang dibentuk oleh “lautform” bentuk luaran dan fikiran yang dibentuk oleh “idenform” bentuk dalaman. Hasilnya, pelbagai ragam ujaran yang tidak terbatas jumlahnya dapat diterbitkan.
Bahasa Melayu atau disebut bahasa Malaysia di dalam buku Pendidikan Negara Bangsa Malaysia oleh Ishak Saat dinyatakan sebagai bahasa penyatuan. “Bahasa jiwa Bangsa” berperanan penting membentuk jati diri dan identiti sesebuah bangsa. Bangsa yang dimaksudkan adalah bangsa Malaysia. Usaha memartabatkan bahasa Melayu juga perlu diperkasa semaksimum mungkin bagi menjayakan gagasan “satu bahasa, satu bangsa, satu Malaysia”. Sehubungan itu kesalahan bahasa yang terjadi perlu diperbetulkan. Sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi (kebangsaan) dalam perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka, dengan sendirinya bahasa Melayu menjadi milik orang Melayu, orang Cina, orang India dan semua penduduk warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Maka, untuk berkomunikasi dengan berkesan, kita perlu memilih bahasa yang diketahui oleh semua pihak. Kesalahan sering timbul ketika komunikasi berlangsung antara bangsa yang berlainan.
Kesalahan penggunaan kata menimbulkan rasa kurang senang tetapi tidak menjejaskan makna kerana kebanyakan kita dapat memahami maksud yang hendak disampaikan. Kesalahan seperti ini kerap terjadi kerana kurang pemahaman tentang tatabahasa.
Contoh 1. “Baru” dengan “baharu”.
1a. Ayah baru sampai dari kampung.
1b. Baju baru yang dibelinya berwarna kuning.
Penggunaan ejaan baru dalam ayat 1a betul yang merujuk kepada masa. Tetapi baru pada ayat 1b salah kerana ayat merujuk kepada benda. Sepatutnya dieja baharu.
Contoh 2. Penggunaan “di” sebagai kata sendi dan imbuhan
2a. Buku itu disimpan di dalam almari.
2b. Negeri Melaka telah berkembang maju di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.
2c. Sila letakkan borang di dalam kotak ini.
Pertama, kata sendi di ditulis berpisah daripada Kata Nama yang mengikutnya. Dalam hal ini. Ayat 2a betul tetapi penggunaan di dalam ayat 2b salah. Bagi ayat 2c penggunaan di dijadikan kata imbuhan dan dirapatkan adalah salah tetapi yang dikesalkan ayat 2c menjadi label yang dipaparkan di salah sebuah pejabat imigresen di negara kita. Hanya di yang berfungsi sebagai kata imbuhan perlu dirapatkan.
Kedua, kesalahan frasa. Kesalahan frasa kerap berlaku kerana melanggar Hukum D-M, iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan. Contohnya Chan Restoran sepatutnya Restoran Chan. Frasa terbitan sering kedengaran menerusi radio, televisyen dan surat khabar.
Contohnya Johor leads by 2-0. Ayat tersebut diterjemahkan menjadi Selangor mendahului 2-0 dan membawa maksud yang tidak jelas. Sepatutnya, pasukan Selangor mendahului pasukan lain dengan mata 2-0.
Ketiga kesalahan ayat. Kesalahan ayat turut berlaku terutama ayat tergantung. Walaupun maksud yang ingin disampaikan mungkin dapat difahami tetapi ayatnya tidak lengkap.
Contoh 3. Tidak lebih dan tidak kurang.
Contoh 4. Lebih penerbangan. Lebih pilihan.
Contoh 5. Hanya satu calitan.
Contoh 6. Alimah guru.
Ayat lengkap mesti mengandungi subjek yang bersifat frasa nama dan predikat. Predikat ialah kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek. Contoh 6 adalah ayat tunggal yang lengkap kerana Alimah adalah subjek dan guru adalah predikat. Ini berbeza dengan contoh ayat 3, 4 dan 5.
Corder 1973 berpendapat bahawa sebab terjadi kesalahan bahasa ialah kerana terdapat banyak peraturan yang ada pada sesuatu bahasa iaitu formal dan tidak formal. Kadang-kadang, jika tidak berhati-hati, dalam masa menggunakan bahasa formal seseorang akan terbawa-bawa dengan bentuk yang tidak formal. Penggunaan bentuk bahasa yang tidak formal adalah dianggap kesalahan bahasa. Malah sesuatu bahasa lazimnya mempunyai dialek-dialek. Penggunaan dialek adalah tidak formal. Oleh itu jika dialek dicampuradukkan dengan bahasa formal atau standard maka terjadilah kesalahan bahasa.
Sharma (1981), berpendapat bahawa kesalahan bahasa dibahagikan kepada 3 kategori :
Kesalahan Bahasa Dalam Kalangan Masyarakat Majmuk
i.Faktor dialek
Berikut ialah beberapa contoh ayat yang biasa digunakan oleh penutur di Terengganu.
Contoh 1. Ali menangkap ikang.
Contoh 2. Adik melukis bulang.
Contoh ayat 1 dan 2 adalah ayat lengkap tetapi penggunaan perkataan ikan dan bulan dieja mengikut sebutan dialek yang menyebabkan kesalahan ejaan.
ii. Faktor pengaruh media
Media elektronik seperti radio dan televisyen, memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa terutamanya kanak-kanak. Melalui radio dan televisyen, mereka mempelajari aspek bahasa seperti sebutan, perbendaharaan kata, intonasi dan sebagainya. Bunyi vokal dan konsonan dalam perkataan perlu dibunyikan dengan betul kerana jika tidak, akan timbul masalah.
Contoh 1. Van yang mereka naiki telah terbabas.
Contoh 2. Alya melaporkan dari Johor.
Contoh 3. Lain-lain perkara akan dibincangkan kemudian.
Contoh 4. Usaha memperluaskan jalan sedang dijalankan.
Contoh 5. Bagaimanapun ada perkara yang tidak jelas yang mana ramai orang tidak mengetahuinya.
Bagi ayat 1 dianggap tidak menepati struktur ayat pasif kata ganti nama diri ketiga. Kesalahan di dalam ayat 2, Kata kerja transitif hendaklah diikuti oleh objek. Bagi ayat 3 berlaku kesalahan hukum D-M. Bagi ayat 4, berlaku kesalahan kerana penggunaan apitan memper….. kan pada kata adjektif. Ayat 5yang tertulis pada akhbar Harian Metro 23 Januari , yang mana adalah terjemahan terus which dalam bahasa Inggeris.
iii. Faktor pengaruh bahasa lain
Contoh penggunaan di mana (where) dan yang mana (which) sebagai kata hubung dalam ayat begitu meluas seolah-olah diterima dalam bahasa Melayu. Malah golongan intelektual dan individu yang dianggap berpengetahuan dalam bahasa Melayu turut mengamalkan kesalahan tersebut. Demikian juga penggunaan frasa yang tidak mematuhi hukum D-M, misalnya lain-lain hal dan mini maraton. Selain pengaruh bahasa Inggeris, kesalahan bahasa juga sering berlaku akibat pengaruh bahasa Cina dan India. Antara ayat yang sering kita dengar seperti:
Contoh 1. Jangan takut menderma dara (darah).
Contoh 2. Ramai pelajar sekarang yang ditangkap menghisap dada (dadah).
Contoh 3. Jangan mara-mara (marah-marah), nanti cepat tua.
Contoh 4. Saya mahu membeli telo (telur).
iv. Faktor bahasa slanga
Contoh lain perkataan gay, sekitar 1960-an digunakan tanpa sebarang masalah. Namun begitu sekarang perkataan itu akan membawa erti yang agak negatif iaitu orang yang homoseksual. Sistem pesanan ringkas (SMS) yang banyak meringkaskan perkataan hakikatnya merosakkan bahasa jika tidak dipantau penggunaannya dan dipraktikkan dalam situasi formal. Perkataan yang digunakan juga sama seperti bahasa slanga yang sering berubah mengikut peredaran zaman. Dahulu kita menggunakan perkataan kekasih, kini pelbagai perkataan baharu digunakan seperti makwe, cewek dan awek. Namun maksudnya masih sama. Ko pula digunakan untuk awak dan gua untuk saya.
Cara Mengatasi Masalah Kesalahan Bahasa
Dalam usaha mempercepat penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan bangsa Malaysia, Kementerian Pelajaran harus melentur buluh dari rebungnya dengan memperkasakan sekolah kebangsaan di negara ini. Cara ini dapat menggalakkan ibu bapa agar menghantar anak masing-masing ke sekolah kebangsaan untuk memantapkan penguasaan bahasa dan seterusnya mewujudkan integrasi antara murid daripada pelbagai kaum. Profesion perguruan berperanan mengajar bahasa khususnya aspek sebutan dan ejaan yang saling berkait dengan betul. Aspek kesantunan berbahasa harus diterapkan. Amalan dan nilai budi bahasa perlu dikekalkan walaupun terdapat pengaruh barat.
Yang merah itu saga,
Yang kurik itu kendi;
Yang indah itu bahasa,
Yang elok itu budi
Orang berbudi, kita berbahasa,
Orang memberi, kita merasa.
Seseorang yang faham dalam bahasa akan dapat menggunakan bahasa dengan baik, tersusun dan lengkap. Pelajar khususnya diberi peluang mengungkap ilmu yang diterima dan menggunakan bahasa sebagai saluran pernyataan buah fikiran dan ilmu pengetahuan melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Pihak media massa dan dunia pengiklanan harus lebih prihatin dan memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu yang betul.Perancang bahasa perlu memperbaiki atau merancang unsur-unsur bahasa untuk meningkatkan keefisienan, mengurangkan sebarang perbezaan yang menghalang fungsi bahasa sebagai bahasa kebangsaan.Sistem ejaan perlu diperbaiki dan menstandardkan sebutan kata-kata pinjaman. Proses penciptaan istilah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka harus diteruskan untuk membolehkan pengungkapan konsep-konsep teknikal dan sains dilakukan. Usaha DBP amat jelas dengan penghasilan buku panduan tatabahasa seperti buku Tatabahasa Dewan. Penghasilan buku ini diharap dapat membantu memperbaiki penggunaan tatabahasa di kalangan pengguna bahasa Melayu. DBP juga melakukan penyelaras bentuk ejaan melalui sidang yang dianggotai oleh negara seperti Indonesia dan Brunei.